"Parti keadilan dan pembangunan Maghribi (Hizb al-‘Adalah wal Tanmiyah) atau Parti de la Justice et du Développement, (PJD) di dalam Bahasa Peranchis pimpinan Saed el-Din al-Uthmani muncul sepertimana kemunculan AKP, PKS dan HAMAS. Imej profesional, bersih, dan juga beraliran sederhana menjadi modal politik mereka."
Maghribi selepas Turki?
Maszlee Malik
Kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (Adalet ve Kalkınma Partisi atau (AKP) di dalam pilihanraya umum Turki dan juga kemenangan calon Presiden mereka, Abdullah Gul telah memulakan trend baru di dalam penglibatan gerakan Islam di dalam politik. Keupayaan mereka mendapatkan 46.6% daripada undi popular (bersamaan 341 kerusi parlimen daripada 550 kerusi yang dipertandingkan) pada pilihanraya bertarikh 22 Julai 2007 menjadikan mereka satu-satunya parti yang berkuasa penuh di Turki pada ketika ini. Jika gerakan Islam di zaman 80’an dan 90’an begitu lantang menyuarakan penegakan negara Islam dan perlaksaan Syariah, berlainan dengan AK. Pengalaman parti-parti Islam terdahulu menjadikan mereka lebih matang. Lain padang lain belalang, begitulah corak permainan AK di dalam arena politik Turki. Barangkali itu juga isyarat kepada gerakan-gerakan Islam sedunia bahawa permainan politik mereka memerlukan wajah yang baru.
AKP lebih dikenali sebagai parti rakyat dan parti kebajikan. Hal ini telah ditegaskan oleh pengasasnya, Recip Tayeb Erdogan pada hari pertama ia ditubuhkan lagi, pada 14 Ogos 2001. Seumpama teori ramai penganalisis politik timur tengah, gerakan Islam pasca kebangkitan adalah lebih senderung untuk menjadi gerakan sosial berbanding gerakan ekstrimis di awal kebangkitan mereka. Eksperimen AKP sebenarnya bukanlah baru, mereka hanyalah sebahagaian daripada eksperimen yang terus berjalan di dalam mewarnakan elemen baru di dalam arena politik antarabangsa. PKS di Indonesia mungkin juga di antara pemain politik berlatar belakangkan Islam yang bersama menelusuri permainan politik yang hampir sama.
Setelah kegagalan PKS untuk mendapatkan threshold dengan undi yang kurang dari 2% di dalam PRU 1999, mereka bangkit dengan imej yang baru di dalam PRU 2004. Imej parti dakwah lewat Partai Keadilan (PK) pada tahun 1999 telah diubah kepada parti kebajikan dan parti rakyat pada PRU tahun 2004. Sehingga kini, strategi PKS adalah lebih kepada mendekati rakyat dan lebih mirip kepada sebuah pergerakan sosial yang memperjuangkan nasib rakyat bawahan. Hasilnya, pada PRU 2004, mereka telah berjaya mendapatkan 7.3% daripada undi popular sekaligus mendapatkan 45 kerusi parlimen daripada keseluruhan 550 kerusi. Keputusan tersebut sekaligus menjadikan mereka parti ketujuh terbesar mendapat undian rakyat di dalam PRU tersebut. Kerjasama mereka dengan Susilo Bambang Yudhiyono (SBY) untuk menaikkan beliau sebagai presiden Republik Indonesia telah meletakkan parti tersebut di tempat yang selesa di dalam lanskap politik Indonesia. Pencapaian PKS dilihat oleh ramai pengamat politik Indonesia sebagai masa depan Indonesia. Sepertimana AKP, PKS juga menegaskan bahawa menegakkan negara Islam mahupun penegakan Syariah bukanlah matlamat politik mereka.
HAMAS di Palestin juga telah menyedari hal ini dan mencontohi AKP. Di dalam PRU majlis legaslatif pihak berkuasa Palestin (PA), parti Taghyir wal Islah (Perubahan dan Reformasi), mereka muncul sebagai parti rakyat. Walaupun HAMAS lebih dimomokkan sebagai gerakan subversif, namun manifesto pilihanraya mereka adalah lebih kepada sebuah parti kebajikan. Kerja-kerja dan juga aktiviti-aktiviti sosial mereka sepanjang kewujudannya telah mengiyakan slogan tersebut. Tidak hairanlah mereka telah memenangi PRU 2006 di luar jangkaan semua pihak di Palestin dan di peringkat antarabangsa. Kesimpulannya, samada AKP, mahupun PKS dan HAMAS, semuanya sedar bahawa rakyat tidak mahukan retorik dan slogan-slogan kosong semata-mata.
Rakyat mahukan alternatif yang benar-benar dapat dipercayai. Rakyat tidak mahukan utopia lagi, rakyat lebih mahukan solusi kepada permasalahan yang mereka hadapi. Di dalam kes ini, aktiviti-aktiviti sosial AKP, PKR dan juga HAMAS telah berjaya mengisi harapan rakyat di ketiga-tiga buah negara tersebut. Rangkaian kerja-kerja sosial dan juga aktiviti relawan dari ketiga-tiga parti telah menjadi mercu tanda kesemua parti berkenaan di negara masing-masing. Persamaan yang ketara juga ialah ketiga-tiga parti dilihat muncul dengan imej bersih dan profesional. Ketiga-tiga parti memunculkan golongan profesional dan juga golongan terpelajar sebagai wakil-wakil dan tokoh-tokoh mereka. Mereka tidak muncul dengan imej ulama, pak lebai ataupun golongan ekstrimis. Barisan teknokrat yang berprestij dan berimej kan profesionalisme dan bersih menjadi tema utama ketiga-tiga parti. Hanya mungkin persamaan ketara di antara PKS dan HAMAS adalah kedua-duanya muncul dengan imej anti-korupsi sebagai agenda utama perjuangan.
Kini, sebuah parti berakar umbikan gerakan Islam pula muncul di Maghribi untuk mengulangi rekod cemerlang ketiga-tiga parti berkenaan. Parti keadilan dan pembangunan Maghribi (Hizb al-‘Adalah wal Tanmiyah) atau Parti de la Justice et du Développement, (PJD) di dalam Bahasa Peranchis pimpinan Saed el-Din al-Uthmani muncul sepertimana kemunculan AKP, PKS dan HAMAS. Imej profesional, bersih, dan juga beraliran sederhana menjadi modal politik mereka. Berbanding dengan gerakan Islam tertua di Maghribi, gerakan al-‘Adl wal Ihsan, PJD bersikap lebih demokratik dan lebih mesra dengan istana. Kepimpinan monarki di Maghribi merupakan sesuatu yang kebal dan pusat utama kekuasaan di negara berkenaan. Sebelum insiden pengeboman di Cassablanca pada tahun 2003, PJD seperti gerakan-gerakan Islam yang lain turut bersikap agresif dan lantang di dalam pendekatannya. Selepas insiden tersebut, mereka mula bersikap sederhana dan berhati-hati di dalam membuat sebarang kenyataan. Semenjak tarikh itu juga, mereka lebih menumpukan perjuangan untuk kebebasan politik dan juga ruang politik sivil.
Para pengamat politik timur tengah kebanyakannya menganalisis perubahan sikap PJD kepada keupayaan mereka untuk berlajar dari AKP di Turki. Kini, forum-forum politik PJD lebih mirip dengan AKP, terutamanya dari segi pendekatan sederhana dan pro-demokrasi. Pengamat politik juga ramai yang melihat peluang yang lebih cerah PJD untuk memenangi lebih banyak kerusi di dalam PRU Maghribi yang akan berlangsung pada bulan September 2007 ini. Berbanding 42 kerusi daripada keseluruhan 325 kerusi parlimen di Majlis legaslatif Maghribi, mereka dijangkakan akan memenangi lebih 70 kerusi di dalam pilihanraya September ini menurut Ali Anozala, pengarang akhbar harian “al-Masaa” di Maghribi.
Jangkaan Anozala ini adalah berdasarkan realiti parti-parti yang akan bertanding di dalam PRU tersebut. Daripada 33 parti yang akan bertanding, hanya 28 parti sahaja yang bersiap sedia untuk PRU tersebut. Di antara 28 parti berkenaan, hanya PJD sahaja yang mempunyai persiapan dan mekanisme yang tersusun dan teratur. Kebanyakan parti-parti yang bertanding lebih bergantung kepada faktor kekabilahan, individu dan juga kedaerahan.Faktor ini tidak menjadi modal utama PJD yang lebih dikenali sebagai sebuah institusi yang disegani. Individu-individu yang mewakili parti PJD adalah lebih menampilkan karismatik parti berbanding faktor-faktor lain. Pencabar terdekat kepada PJD menurut Anozala lagi, ialah parti sosialis Maghribi. Parti tersebut walau bagaimanapun tidak akan memberikan tentangan hebat kepada PJD. Parti sosialis itu juga secara rasmi menolak sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan bersama dengan PJD jika parti berkenaan berjaya mendapatkan suara majoriti.
Apakah PJD akan berjaya mengulangi kecemerlangan seumpama AKP di Turki ataupun HAMAS di Palestin?
Ataupun mereka akan mengorak langkah permulaan kepada masa depan yang lebih cerah seperti PKS di Indonesia?
Sesuatu yang pasti, dunia sedang menyaksikan pendekatan politik Islam pro-Demokrasi adalah lebih dekat dengan hati rakyat berbanding dengan pendekatan ekstrim, pro-Ulama dan pro-revolusi.
No comments:
Post a Comment